STEM Education

Posted by Azraai Ahmad

Apakah STEM?

STEM bukanlah benda yang dilekatkan di sampul surat, tetapi ia adalah akronim kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan (Engineering) dan Matematik. STEM adalah satu subjek mega yang mengintegrasikan keempat-empat disiplin ilmu menjadi satu subjek yang lebih sesuai dan relevan untuk diajar di sekolah kerana STEM menekankan elemen praktikaliti dan realiti. Memang diakui benar bahawa kanak-kanak lebih suka belajar jika mereka dapat menghubungkan pelajaran itu dengan persekitaran dan kehidupan mereka sehari-hari. STEM membolehkan kanak-kanak belajar sains, matematik, mengguna teknologi dan merekacipta teknologi. Inilah pendidikan STEM yang kami cadangkan dilaksanakan di sekolah dan malah di prasekolah lagi.

Sesuaikah STEM diajar di prasekolah?

Kami telah buktikan kanak-kanak 3-4 tahun di Pusat PERMATA Negara dan Taska PERMATA Kemas dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) boleh menjalankan projek STEM dengan jayanya dengan bimbingan pendidik atau pengasuh mereka.

Contoh Projek STEM (Ikat dan Celup)

pendidikan stem1
Kanak-kanak belajar tentang corak dan campuran warna sebelum membuat projek STEM Ikat dan Celup.

 
 
Kanak-kanak mengeksprimen jenis-jenis bahan yang boleh menyerap warna dan bagaimana serakan warna berlaku. Akhir sekali mereka merekacipta corak sendiri menggunakan kaedah/teknik (teknologi) ikat dan celup.

 
Hasil rekacipta kanak-kanak menggunakan teknik ikat dan celup.

Kanak-kanak teruja dengan hasil kerja sendiri. Melalui Projek STEM, kanak-kanak membina keyakinan dan esteem kendiri.

Bagaimana mengajar STEM kepada murid prasekolah?

Pasukan penyelidik kami dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mencipta Project-based Inquiry Learning CERDAS STEM atau turut dikenali sebagai PIL CERDAS STEM untuk membantu murid-murid belajar STEM. Pedagogi ini amat mudah untuk dilaksanakan. Ia terdiri daripada 4 fasa: Inkuiri, Penerokaan, Rekacipta dan Refleksiyang merupakan satu kaedah yang holistik dan saling melengkapi.

Apakah faedahnya belajar STEM?

Beberapa penyelidikan di Amerika menunjukkan bahawa pembelajaran STEM dapat meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran sains dan matematik, dan dalam jangka panjang mereka memilih jurusan pengajian dan jenis pekerjaan berasaskan STEM.

Kajian yang kami jalankan dengan kanak-kanak PERMATA menunjukkan kemahiran sains dan matematik (iaitu kebolehan inkuiri dan meneroka) mereka meningkat 78%,kebolehan merekacipta (iaitu kemahiran kejuruteraan dan teknologi) meningkat 85%, dan minat terhadap STEM meningkat 84% (Aminah et al., 2015). Dapatan ini membuktikan bahawa kanak-kanak kecil mampu belajar STEM dan minat mereka terhadap STEM dapat disuburkan sejak awal lagi.

Hasil ini selari dengan beberapa penyelidikan di Amerika yang menunjukkan bahawa pembelajaran STEM dapat meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran sains dan matematik, dan dalam jangka masa panjang mereka memilih jurusan pengajian dan jenis pekerjaan berasaskan STEM.

 

Artikel oleh:

PROF. EMERITUS DATO' DR. AMINAH AYOB

Prof. Emeritus Dato' Dr. Aminah merupakan Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bidang kepakaran beliau adalah Pendidikan Sains, Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Brain-based Learning.

Older Post

1 comment


  • Sekarang ni ada STREAM – sains, teknologi, religion, engineering. arts and matematik!
    Apa pandangan anda? Adakah ia akan menjadi terlalu berat utk kanak-kanak berumur 4-7 tahun?

    Nor Anita on

Leave a comment