PANDUAN MEMBENTUK KREATIVITI ANAK

Posted by awal. my

Bayangkan, semasa belajar memandu kereta, kita dipaksa untuk memandu jenis kenderaan yang berlainan pada setiap kali sesi pembelajaran. Sudah pastilah kita memerlukan banyak masa untuk membina apa yang dinamakan oleh Eisner (1985) sebagai ‘keautomatikan’. Beliau menyatakan bahawa kanak-kanak memerlukan pendedahan serta peluang pembelajaran dalam satu tempoh masa tertentu bagi bahan, peralatan dan persekitaran yang sama supaya mereka boleh membina kesedaran dan pengawalan, dan seterusnya membentuk kreativiti mereka. Masa dan latihan akan membolehkan kanak-kanak membina pengetahuan yang lebih kuat dan mendalam berkenaan prinsip-prinsip Matematik.

Pembaharuan bukanlah satu-satunya cara untuk menggalakkan pembelajaran. Sebaliknya anda perlu memberikan lebih masa kepada kanak-kanak untuk meneroka bahan-bahan serta persekitaran mereka, meneroka idea, menguji logik dan penyelesaian, merekodkan idea, serta mengubah elemen-elemen tertentu untuk melihat kesannya.

Buka mata dan pasang telinga semasa memerhati kanak-kanak yang sedang bermain dengan biasa ataupun spontan. Hal ini mungkin melibatkan penyediaan persekitaran Matematik yang lebih kompleks dengan bahan-bahan yang akan menggalakkan bermain dalam cara-cara yang tertentu, atau pembentukan kumpulan-kumpulan kecil kanak-kanak yang akan mengikuti penerokaan berpandu bersama orang dewasa. Peri pentingnya penglibatan orang dewasa tidak boleh dipandang sebelah mata. Interaksi yang sensitif, menggalakkan dan kritikal akan membantu kanak-kanak untuk banyak berfikir dan berfikir secara mendalam serta membuat telahan. Dengan membuat telahan, mereka akan lebih bermotivasi untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan, yang seterusnya membina keyakinan diri kanak-kanak. Proses ini meningkatkan lagi kemahiran kanak-kanak untuk memahami prinsip-prinsip Matematik.

Artikel ini merupakan petikan daripada buku Matematik Prasekolah: Permainan Dan Aktiviti Siri 1 

Artikel oleh:
Monalisa Harun Chong
Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment