Mudahnya Ajar Anak Cepat Matematik (Siri I)

Posted by awal. my

Setiap anak unik dan istimewa dan mereka mempunyai gaya belajar yang berbeza.

Pengalaman lebih 12 tahun dalam mengajar subjek Matematik kepada anak-anak usia 3- 6 tahun membantu saya untuk faham perbezaan ini. Banyak percubaan “Try and Adjust” yang saya gunakan. Asal balik kursus atau beli produk Matematik baru, saya akan bereksperimen bersama anak-anak. Alhamdulillah! Seronok belajar Matematik bersama anak-anak.

Mereka banyak mengajar saya untuk menggunakan pelbagai pendekatan dan bahan. Ini kerana anak tidak patut diajar dengan menggunakan satu cara yang sama. Ingat, anak-anak adalah individu yang unik dan istimewa. Pengalaman, kefahaman dan gaya belajar mereka tidak sama.

Anak-anak yang diberi asas Matematik yang kukuh konsep pra-nombornya akan mudah memahami konsep tambah, tolak, pecahan, dan sebagainya. Usah tergesa-gesa mahu anak cepat menghafal sifir atau sibuk beri banyak lembaran kerja tambah dan tolak tanpa kukuhkan asas pra-nombor anak. Akhirnya, anak-anak lupa hafalannya, cikgu sekolah rendahnya terpaksa bermula dari awal. Seolah-olah anak tak pernah diajar matematik.

Saya masih ingat sehingga sekarang pesanan dan rasa terkilan Prof saya melihat pencapaian pelajar-pelajar Melayu yang kurang berjaya untuk subjek-subjek Sains dan Matematik yang banyak memerlukan mereka berfikir secara abstrak. Pesannya, kukuhkan asas Matematik dan Sains anak-anak dengan memperbanyakkan penerokaan bahan-bahan maujud. Ini akan membantu mereka untuk memahami Sains dan Matematik di peringkat tinggi kerana pada masa itu, banyaknya formula dan pemikiran secara abstrak yang berlaku.

Saya percaya dan saya lihat sendiri pencapaian anak-anak murid saya yang sangat cemerlang setelah diberi banyak pengukuhan dan pengalaman Matematik dengan bahan-bahan maujud dan permainan.
Ambillah masa untuk beri anak pengalaman Matematik yang bemakna dan menyeronokkan. Satu pelaburan masa dan tenaga yang pasti berbaloi-baloi.

 

Artikel oleh:

MONALISA HARUN CHONG

Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment