Belajar Sains Dimulai dengan Memahami Kata Kunci?

Posted by awal. my

Sains sebenarnya adalah satu sistem ilmu yang menyusun kefahaman manusia tentang bagaimana alam ini dicipta dan berfungsi. Cuba anda bayangkan, anak-anak kita fasih menceritakan bagaimana alam semesta ini beroperasi, ataupun memahami bahawa alam ini terdiri daripada zarah-zarah yang kecil yang dipanggil atom.

Pernahkah kita terfikir, bagaimanakah untuk menterjemahkan kefahaman yang hebat dan besar ini ke dalam dunia kanak-kanak?

Perjalanan anak-anak kita untuk memahami sesuatu konsep sains adalah sama seperti bagaimana mereka menguasai kemahiran berjalan. Manusia yang normal menguasai sesuatu pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan tahap semasanya. Begitulah juga perihal anak-anak anda. Justeru, anak anda akan bermula menguasai sesuatu konsep sains dengan tahap yang paling asas.

Tahukah anda, tahap yang paling asas dalam pengetahuan sains adalah dengan memahami kata kunci. Kata kunci digunakan untuk menerangkan sesuatu objek yang terlibat di dalam konsep sains tersebut. Istilah panjang, tinggi, lebar, panas, sejuk, merah, tenggelam dan gelap merupakan beberapa kata kunci yang memikul konsep-konsep penting di dalam sains. Konsep sains yang lebih besar tentunya.

Sebagai ibu bapa yang bijaksana, kita seharusnya menyesuaikan perkongsian kata kunci ini dengan usia kanak-kanak yang masih lagi bertatih untuk memahami dunia sekelilingnya.

Untuk lebih memahaminya, ayuh kita lihat satu contoh konsep sains yang mudah, iaitu konsep Tenggelam dan Timbul.

Di dalam konsep Tenggelam dan Timbul, terdapat beberapa kata kunci yang penting untuk membantu kanak-kanak memahami konsep ini. Kata kunci tersebut adalah:

  1. tenggelam
  2. timbul
  3. air

Apa kata, kita telusuri bagaimanakah anak-anak kita berfikir dan bertindak untuk menggarap konsep sains ini.

  1. Anak anda mula berfikir, apakah yang akan terjadi kepada sesuatu objek, apabila ia diletakkan di dalam air.
  2. Anak anda akan meletakkan objek tersebut ke dalam air.
  3. Anak anda memerhatikan apa yang terjadi kepada objek tersebut.
  4. Ada sesetengah objek yang terjatuh ke dasar air dan berada di permukaan air.
  5. Kanak-kanak akan mula mengasingkan objek yang terjatuh ke dasar dan berada di permukaan. Kalau tidak pun, mereka mula membezakan objek-objek tersebut di dalam fikiran mereka.
  6. Akhirnya mereka akan bertanya kepada anda apa kata kunci yang boleh digunakan untuk menerangkan:
  • kumpulan objek yang terjatuh ke dasar air – iaitu tenggelam
  • kumpulan objek yang berada di permukaan air – iaitu timbul

Apa yang diterangkan adalah sebuah pengalaman sains yang akan anak-anak anda lalui. Namun, ia tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Ia akan terus berjalan apabila mereka mahu mengkaji kenapa ada objek yang tenggelam dan ada objek yang timbul di dalam air.

Apabila mereka meningkat dewasa, kemahiran ini akan berkembang dan proses di atas akan berlaku dengan spontan. Tanpa mereka sedari, mereka akan terus menyimpulkan konsep sains dengan cepat dan tepat. Ini berlaku kerana mereka telah menguasai perkaitan antara kata-kata kunci itu dan mampu memahaminya secara menyeluruh.

Seorang guru dan ibu bapa perlulah bijak memilih kata kunci atau istilah yang sesuai untuk difahami oleh kanak-kanak. Perlu diingat, pada mulanya, sesetengah kata kunci itu mungkin sukar difahami oleh kanak-kanak. Akan tetapi, anda tidak boleh memaksa kanak-kanak untuk menghafalnya.

Apa yang boleh anda lakukan adalah dengan mendedahkan kata-kata kunci ini dalam kehidupan seharian mereka, baik semasa anda menyuapkan mereka makanan, bermain acilut ataupun semasa anda menggunakan komputer dengan mereka.

Sudah pasti, lama-kelamaan mereka akan memahami kata kunci tersebut dan mula menggunakannya sungguhpun tidak mempelajari sesuatu konsep sains itu secara langsung. Kanak-kanak sebenarnya akan terbiasa dengan sesuatu kata kunci apabila mereka sering mendengar bagaimana kata kunci itu digunakan. Untuk guru, sesuatu aktiviti dan eksperimen sains dengan anak-anak akan lebih mengujakan apabila mereka mampu memperkatakan kata-kata kunci ini semasa membuat pemerhatian dan berbincang sesama mereka.

Kesimpulannya, sesuatu pemahaman sains itu bermula dengan pemahaman anak-anak terhadap kata kuncinya. Sebab apa ia dinamakan kata kunci? Kuncilah yang akan membuka gerbang kehebatan ilmu sains yang hebat itu nanti.

Di sinilah kita akan melihat bagaimana saintis cilik kita beraksi.

 

Oleh: Admin

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment