Anak Anda Peminat Sains?

Posted by awal. my

Menarik minat anak-anak terhadap dunia sains bermula dari rumah lagi. Banyak aktiviti mudah boleh dijalankan di rumah untuk menggalakkan anak anda berkhidmat sebagai saintis muda! Menanam benih kacang, melihat pam tandas ditekan atau menghasilkan buih-buih menggunakan syampu. Ini adalah sebahagian daripada berjuta aktiviti sains yang boleh dilakukan bersama anak anda. Namun ibu bapa perlu beringat, pastikan uji kaji yang dijalankan selamat tetapi mampu membuatkan si kecil anda tersenyum gembira.

Pada peringkat awal, anak anda boleh diperkenalkan dengan mencari perbezaan pada sesuatu objek atau lukisan. Buku-buku aktiviti kanak-kanak pada hari ini boleh membantu anak anda dengan mudah. Ilustrasi-ilustrasi menarik yang dihasilkan akan membuatkan anak anda tertarik untuk mencari perbezaan.

Untuk memudahkan anak anda mengenali sains, bekalkan anak anda segenggam kacang yang pelbagai jenis atau warna. Kemudian, anda boleh meminta anak anda menyusun kacang tersebut mengikut jenis dan warna yang tepat. Pada usia prasekolah, elakkan daripada menggunakan kekacang yang bersaiz kecil. Aktiviti ini lebih seronok jika dilakukan bersama. Secara tidak langsung, anda dapat meluangkan masa bersama anak dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan.

Demi menghasilkan sesuatu yang lebih berinovasi, bekalkan anak anda dengan kit sains yang mungkin membantunya mengenali sains dengan lebih menyeronokkan. Peralatan sains seperti kertas, arang, kanta pembesar, pemegang objek, bikar kaca, dan dawai yang dilubangkan ditengah-tengahnya, beberapa bekas plastik berlainan saiz dan juga papan telur yang boleh digunakannya. Dengan adanya kit ini, anak anda pasti teruja untuk menerokai dunia sains yang luas. Merancang aktiviti pasti menjadi perkara yang mudah sementelah bahan-bahannya telah tersedia.

Pembelajaran sains boleh digunakan dengan kaedah baru yang berbentuk penyiasatan seperti jenayah polis. Apa yang mustahak, ibu bapa perlu memberi kerjasama jika anak anda ingin bertanya sesuatu. Tugasan anda cukup mudah, bekalkan anak anda pertanyaan demi pertanyaan untuk dirungkai. Pastikan anda juga mengetahui jawapannya. Teknik-teknik sains termasuklah mereka hipotesis, menyatakan objektif penyiasatan dan menyatakan kesimpulan. Jika anak di peringkat sekolah rendah, kenalkan pada anak anda tiga bentuk pemboleh ubah yang mempengaruhi keputusan penyiasatan.

Untuk mencambah minat yang lebih mendalam dalam dunia sains, anda boleh membawa anak anda ke Pusat Sains Negara atau Petrosains. Anak anda pasti kagum apabila melihat pelbagai pameran sains yang berskala besar. Pendedahan dunia sains melalui aktiviti seakan “field trip” ini pasti menimbulkan rasa gembira, teruja, ingin tahu dalam diri anak anda. Menghabiskan masa senggang bersama anak anda di hadapan kaca televisyen sambil menonton siaran dokumentari juga merupakan wadah mudah bagi meningkatkan daya sains dan inovasi dalam diri anak-anak.

Tidak susah untuk mengendalikan peranan sebagai saintis muda. Ia mencerminkan usaha anda sebagai ibu bapa yang prihatin. Setiap kepercayaan dan usaha dari anda sangat diperlukan agar menjadi agen utama memangkin pembangunan intelek anak-anak.

 

Oleh: Admin

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment