8 Permainan Matematik Mudah untuk Anak Anda

Posted by Azraai Ahmad

Belajar konsep matematik seharusnya bermula dengan permainan matematik. Kajian mendapati anak memahami konsep matematik dengan lebih baik melalui aktiviti bermain yang bermotif. Aktiviti dan permainan lebih menarik daripada membuat latihan dalam buku sahaja.

Soalan:

Bagaimana mengajar anak mengenal nombor dengan cepat dan berkesan?

Ada banyak aktviti dan permainan yang boleh anda sediakan untuk anak agar mudah dan cepat mengenal nombor. Namun, pastikan sebelum mulakan aktiviti dan permainan yang dicadangkan, anak anda telah menguasai konsep pra nombor seperti pengelasan, padanan, seriasi dan corak.

Setelah anak menguasai pengalaman pranombor yang dicadangkan. Barulah anak anda boleh beralih pada konsep nombor, operasi nombor, nilai wang dan sebagainya.

Antara permainan dan aktiviti untuk anak cepat mengenal nombor:

Konsep nombor (1 – 5) (1- 10)

1. Cuba kira?

Minta anak-anak mengira objek 1 – 5 yang ada disekelilingnya. Tidak perlu memperkenalkan angka/simbol. Hanya mengira sahaja. Mulakan bilangan objek yang mudah dan naikkan cabaran mengira objek setelah anak menguasai kiraan tersebut.

2. Mari teka!

Letakkan objek di merata-rata tempat dan minta anak teka berapa objek tersebut. Jadikan permainan lebih mencabar dengan meletakkan cabaran masa (dalam kiraan 10 saat).

Contoh: Letakkan 3 biji cawan di atas meja, 2 biji cawan di atas buku, 5 biji cawan di atas lantai, 1 biji cawan di atas kain, 4 biji cawan di atas kerusi dan minta anak-anak cari dan teka berapa bilangannya.

3. Di mana stoking saya?

Letakkan objek (lego, bola, pemadam dan sebagainya yang sesuai) di dalam sepasang stoking dan sembunyikan di sekeliling rumah. Minta anak-anak mencari stoking yang disembunyikan dan setelah menjumpainya, minta anak mengira bilangan barang yang ada di dalam stoking tersebut.

Jadikan cabaran dengan meminta anak mencari pasangan stoking yang sama dan kira berapa objek yang ada di dalamnya. Selain itu, anda boleh meminta anak-anak mencari stoking yang mempunyai padanan jumlah barang yang sama.

4. Dadu Titik

Buatkan dadu besar yang ada bilangan dots (1-5) atau (5-10). Minta anak-anak membaling dadu dan meneka berapakah bilangan titik pada dadu yang mereka dapati.

Untuk tahap yang lebih mencabar: Buatkan dua dadu titik dan minta anak-anak mencampak kedua-dua dadu secara serentak dan cuba mengira berapa bilangan titik yang ada pada kedua-dua dadu tersebut. (Belajar operasi nombor secara tidak langsung)

5. Kad titik (Boleh rujuk kaedah Glenn Doman)

Imbaskan kad titik (1-5) sambil menyebut bilangan titik yang ada pada kad imbasan (2 kali).

Seterusnya, minta anak-anak menyebut bilangan titik pada kad imbasan yang diimbas. Jika anak-anak masih tidak dapat menyebut dengan cepat dan tepat, ini bermakna anak-anak masih tidak menguasai bilangan objek. Maka, anak perlu perbanyakkan aktiviti mengira objek-objek yang ada di sekeliling mereka.

6. Cawan dan Kacang

Sembunyikan beberapa biji kekacang di dalam cawan dan gerakkan cawan dengan laju dalam gaya pusingan. Minta anak-anak meneka berapa biji kekacang yang ada di dalam cawan. Selepas bermain, minta anak-anak mengira keseluruhan kekacang yang berjaya dikumpulkan.

7. Sidai Baju

Minta anak-anak membantu anda menyidai baju cucian. Selesai menyidai, minta anak-anak meneka berapa helai seluar, berapa helai t-shirt, berapa helai tuala yang berjaya disidai hari ini.

8. Jom tolong mama masak

Anda boleh meminta anak-anak membantu anda menyediakan bahan-bahan memasak seperti: Nina… ambilkan mama 2 biji tomato, satu batang timun, dan sebagainya. Tetapi ingat, beri anak-anak 1 – 2 arahan dalam satu masa.

Selain itu, anda boleh meminta anak-anak membantu untuk tugasan di rumah dengan melibatkan kiraan objek dan banyak lagi. Berkreatiflah dalam merancang permainan untuk anak-anak.

Setelah anak-anak menguasai berapa itu berapa, anda boleh dimulakan dengan mengenal nombor.

 

Artikel oleh:

MONALISA HARUN CHONG

Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment