Melatih Anak-anak Memberus Gigi

Posted by awal. my

Melatih anak-anak untuk menggosok gigi bukanlah sesuatu yang mudah. Sama seperti menyuruh anak mandi atau memakan sayur-sayuran hijau, setiap satunya membuatkan ibu bapa mengeluh. Namun di atas kesedaran mengenai kepentingan memberus gigi, anak-anak perlu dipaksa. Jadi, bagaimana pula jika mereka enggan memberi kerjasama? Ibu bapa perlu mengambil langkah yang lebih baik untuk mencungkil kemahuan anak anda.

Menunjukkan keperibadian yang baik di hadapan anak anda merupakan langkah paling mudah untuk membuatkan anak-anak seronok memulakan langkah awal menggosok gigi. Apabila ibu bapa menunjukkan keseronokan ketika memberus gigi, secara tidak langsung ia telah memulakan bibit-bibit seronok dalam diri mereka. Belikan anak anda berus gigi yang sama warna atau gantikan berus gigi tradisonal kepada yang lebih moden iaitu berus gigi elektrik.

Lebih mudah jika anak anda memilih berus gigi yang paling bersesuaian dengan keperluan anak anda. Saiz dan bahan yang digunakan pada berus gigi kanak-kanak perlu lebih lembut agar tidak mencederakan gigi dan gusi anak-anak. Pemilihan ubat gigi untuk kanak-kanak juga penting bagi menghasilkan kesan yang baik terhadap keperluan anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga perlu menyampaikan cerita-cerita nasihat yang boleh membuatkan anak-anak berubah dan mahu menggosok gigi. Beritahu pada anak anda tentang keburukan membiarkan gigi tidak bergosok. Pemilihan makanan yang baik juga penting. Anak anda tidak boleh selalu disogok dengan makanan-makanan ringan yang hanya merosakkan kesihatan gigi anak anda. Tunjukkan kepada mereka gambar-gambar model gigi yang rosak dan beritahu mereka ia akan terjadi jika mereka tidak menjaga kebersihan gigi.

Ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak tentang teknik memberus gigi yang baik. Gigi perlu diberus sama seperti roda kereta api yang berputar. Selain itu, pertandingan memberus gigi juga mampu meningkatkan minat anak-anak untuk memberus gigi. Contohnya, anda boleh bertanding dengan anak anda tentang siapa yang berjaya menghasilkan buih yang paling banyak semasa memberus gigi. Anda akan melihat anak anda lebih bersemangat untuk mengatasi anda.

Pujian yang diberikan kepada anak anda juga penting bagi membantu mereka lebih bermotivasi ketika memberus gigi. Anak-anak tetap dengan perangai mereka yang perlukan pujian dan perhatian. Oleh itu, ibu bapa jangan sesekali berputus asa bagi melatih anak-anak memberus gigi dengan sebaik mungkin.

 

Oleh: Admin

Newer Post

0 comments


Leave a comment