Kelebihan Kraf Kreatif untuk Anak Prasekolah

Posted by awal. my

Seni merupakan satu perkara yang subjektif. Sebagai manusia, kita menjalani kehidupan dengan pengalaman seni yang tersendiri dan berbeza. Seni boleh  merangkumi kepada seni lukis, seni muzik, seni lakonan dan lain-lain lagi. Seni visual merupakan satu seni bila mana seorang individu menghasilkan karya dengan menggunakan pelbagai teknik seperti melukis, mewarna, menampal, mengoyak, merenjis dan sebagainya. Seni juga merupakan perkara yang dikeluarkan dari dalaman seseorang yang mana juga dikenali sebagai luahan emosi. Pendedahan dalam bidang ini sejak kecil akan memberikan kesan yang positif dalam diri kanak-kanak.

Kebiasaannya pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan melalui proses perkembangan dari segi intelek, jasmani, emosi, rohani dan sosial. Oleh sebab itu, kanak-kanak pada peringkat gemar menyoal, meneroka serta mencuba. Pada usia ini, perasaan ingin tahu sangat tinggi peratusannya dalam diri mereka dan aktiviti seni yang berbentuk hands-on memang digemari.

Keinginan untuk mengetahui perkara-perkara yang berlaku di sekeliling membuatkan kanak-kanak memerlukan pengalaman secara langsung. Kanak-kanak akan lebih berupaya atau berkembang secara aktif apabila terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka sendiri. Melalui pengalaman dan pengamatan sendiri, kanak-kanak akan lebih cerdas dalam aktiviti pembelajarannya.

Ramai pengkaji menyatakan pelajar yang kreatif adalah pelajar yang belajar melalui penyoalan, pemerhatian dan percubaan. Pengalaman menerusi kegiatan seni adalah ideal untuk mencambah, melatih serta merangsang daya imaginasi dan pemikiran kreatif kanak-kanak. Menerusi gerak kreatif, ia merupakan satu ruang yang boleh digunakan oleh kanak-kanak untuk menunjukkan daya kreativiti mereka.

Untuk menghasilkan kraf yang menarik, alat-alat dan peralatan memang perlu disediakan sengan baik. Antara peralatan yang diperlukan adalah pensil, gunting, berus lukisan, kbatang aiskrim, gam, gam pistol, pen marker, kotak, pengasah pensil, kapas, pemadam, tali benang, cawan kertas, pita pelekat, kertas warna, warna air, tisu, pinggan kertas , kotak serbaguna dan banyak lagi bahan yang boleh diguna semula.  Bermain dengan alatan-alatan ini akan menarik minat kanak-kanak. Mereka akan berasa seronok dan lebih mudah untuk menerima pembelajaran. Kanak-kanak yang didedahkan dengan perkara sebegini semenjak awal akan menggunakan segala kreativiti dan kepintaran mereka untuk mencipta sesuatu yang lebih besar, lebih kreatif dan lebih mengagumkan.

 

Artikel oleh:

FATIMAH BINTI KAMARUDDIN

Fatimah binti Kamaruddin merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI, Port Dickson.

Older Post

0 comments


Leave a comment