Watak Animasi: Kesan dan Pengaruh Terhadap Minda Kanak-kanak

Posted by awal. my

Dewasa ini, industri drama dan filem-filem tempatan telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelbagai kartun animasi.  Kartun animasi ini wujud hasil kepesatan teknologi dibantu oleh daya imaginasi yang tinggi dan usaha gigih di kalangan penggiat hiburan tanah air dan antarabangsa.  Tidak keterlaluan jika dikatakan cerita animasi sememangnya dicipta khas sebagai salah satu cabang hiburan dan informasi kepada golongan kanak-kanak.

Animasi:  Penyampaian Yang Kreatif

Sebenarnya dalam proses pembelajaran, kanak-kanak lebih mudah menerima arahan dan sesuatu maklumat apabila pemindahan bahan tersebut disampaikan dengan cara yang lebih kreatif dan mengandungi unsur-unsur menarik dan berwarna-warni umpama bercerita.  Malah, maklumat-maklumat tersebut akan lebih lama disimpan dalam memori akal berbanding info yang disampaikan dalam bentuk formal.  Ini bersesuaian dengan kartun animasi yang dianggap sebagai salah satu cara penyampaian maklumat dalam bentuk cerita yang lebih menarik agar lebih mudah mencuri perhatian penonton, terutama kanak-kanak.  Animasi yang dihasilkan dengan imej, latar belakang atau prop yang cantik serta jalan cerita yang menarik akan mudah terkesan di hati penonton.

Tidak dinafikan, antara cerita-cerita animasi yang ditayangkan, ada yang meninggalkan impak yang positif dan tidak kurang juga yang negatif.  Bagi cerita-cerita yang mempunyai jalan cerita baik dan bermesej positif, ia membantu kanak-kanak dalam menghayati dan memahami jalan cerita dengan harapan dapat dijadikan teladan suatu hari nanti.  Bagaimana pula dengan cerita-cerita yang hanya bermotifkan hiburan semata-mata tanpa mengambil kira impak negatif yang mungkin timbul ekoran bahasa kasar dan jalan cerita yang tidak bermesej?  Tentu sahaja situasi ini memerlukan proses penapisan terlebih dahulu oleh pihak yang bertanggungjawab dan pengawasan yang sepatutnya oleh keluarga, terutama ibu bapa. 

Impak Positif

Secara keseluruhannya, penceritaan dan gaya bahasa yang baik akan memberi impak positif kepada kanak-kanak, kerana secara amnya pada usia ini kanak-kanak mudah meniru perkara yang dapat dilihat dan didengar.

  1. Perbendaharaan kata kanak-kanak

Kanak-kanak mula belajar bertutur dengan cara mendengar dan memerhati pergerakan orang-orang di sekeliling mereka.  Selain dari mengamalkan komunikasi positif dan aktif apabila bersama kanak-kanak, mereka juga boleh dibantu dengan menayangkan cerita-cerita animasi yang bersesuaian dan jelas butir percakapannya agar mudah difahami.  Dengan cara ini, mereka dapat mempelajari perkataan-perkataan baharu dan ini pasti membantu mereka dalam menambah perbendaharaan kata yang mereka ketahui.  Otak kanak-kanak masih ‘segar’ dan pasti setiap perkataan baharu yang dipelajarinya akan kekal di ingatan jika sentiasa diimbas kembali dengan membantu mereka menggunakannya setiap hari.

  1. Mempelajari sikap positif

Watak-watak dalam kartun animasi yang dihasilkan di Malaysia lebih natural, logik dan banyak berdasarkan realiti kehidupan sebenar sebagai orang timur yang mengamalkan adat resam atau budaya serta cara hidup yang baik dan terpuji.  Contohnya cerita klasik Bawang Merah dan Bawang Putih yang dianimasikan dengan baik oleh karyawan seni kita.  Walaupun jalan cerita tersebut ada mempamerkan sikap ibu tiri yang jahat dan anak yang pemalas serta buruk budi bahasa, namun kedua-dua watak tersebut seolah-olah ditenggelamkan oleh satu watak yang cukup disukai oleh para penonton.  Malah penonton lebih memberi tumpuan kepada watak baik ini dan tidak mempedulikan apa yang akan berlaku kepada watak sampingan yang lain.  Rata-rata kanak-kanak yang menonton cerita ini mengingati watak seorang gadis cantik yang mempamerkan sikap yang baik dan terpuji seperti baik hati, menghormati orang tua, sanggup berkorban, penyabar dan pemurah.  Watak-watak sebeginilah yang harus ditayangkan kepada kanak-kanak agar sikap positif dapat dipupuk dalam diri mereka sejak kecil lagi.

Selain itu watak animasi bersiri terbitan anak tempatan seperti “Upin dan Ipin” serta “Boboiboy” juga berjaya menambat hati kanak-kanak dan ibu bapa.

  1. Mengajar kanak-kanak cara bertutur

Dewasa ini, sebahagian besar cerita-cerita animasi dari negara luar telah dialih bahasa sama ada kepada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang standard.  Begitu juga dengan kartun animasi yang dihasilkan oleh negara kita.  Ini bermakna, aturan ayat yang dilafazkan serta tatabahasa yang digunakan adalah lebih tersusun.  Sebagaimana yang dikatakan tadi, kanak-kanak mula belajar bertutur dengan cara mendengar dan memerhati.  Oleh itu, pilihlah cerita-cerita yang menggunakan perkataan yang jelas dan betul serta bersesuaian dengan usia mereka untuk ditonton agar dapat melatih mereka supaya lebih cepat bertutur dengan sebutan yang betul bagi membantu mereka beradaptasi dengan baik dalam persekitaran kehidupan sosial kelak.

Impak Negatif

  1. Penggunaan bahasa kasar dan kurang sopan

Terdapat juga siri kartun animasi yang menggunakan bahasa yang tidak bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak.  Bahasa yang dipertuturkan oleh watak dalam siri yang terbabit agak kasar dan adakalanya kurang sopan untuk didengari oleh kanak-kanak.  Bagi kanak-kanak yang terlalu meminati sesuatu watak itu, sedangkan ia sebenarnya kurang sesuai untuk ditonton, tentu sukar bagi ibu bapa untuk membetulkan semula apa yang telah didengari, dilihat dan difahaminya.  Jika keadaan ini berterusan, tidak hairanlah sekiranya kanak-kanak terbabit sudah pandai mengeluarkan kata-kata yang kurang sedap untuk didengar malah kadang-kala yang memalukan ibu bapa mereka apabila didengari orang lain.

  1. Meniru cara berpakaian atau imej yang kurang sesuai

Bahagian ini agak sensitif untuk dibincangkan.  Namun, bagi mereka yang menitikberatkan hal-hal keagamaan (khasnya mereka yang beragama Islam) dan bersikap terbuka, pasti memahami apa yang cuba diterangkan.  Islam sendiri menuntut umatnya supaya berpakaian mengikut syariat yang telah ditetapkan (menutup aurat) sama ada bagi lelaki atau perempuan.  Jika diperhatikan sebilangan kartun-kartun animasi yang dibawa masuk dari luar, cara watak mereka berpakaian agak bertentangan dengan apa yang dituntut dalam Islam.  Bagi kanak-kanak, mereka langsung tidak menyedari akan hal ini.  Oleh itu, sebagai ibu bapa atau orang yang lebih dewasa, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan hal yang sebenar kepada mereka. Didiklah anak agar berpakaian dengan betul dan sesuai sejak kecil lagi.  Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.  Usaha ini juga dapat mengurangkan risiko berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kejadian rogol ke atas kanak-kanak yang saban tahun dipaparkan di dada-dada akhbar.

  1. Melalaikan kanak-kanak

Kesan terakhir yang dapat dinyatakan di sini ialah, tidak kira siri animasi tersebut memberi impak positif atau negatif, ia tetap melalaikan kanak-kanak.  Bagi yang terlalu obses, mereka sering tertunggu-tunggu dan sentiasa memastikan agar tidak terlepas dari menonton rancangan kartun animasi kegemaran mereka ditayangkan di televisyen.  Malah ada yang sanggup meraung-raung di depan orang ramai demi mengajak ibu bapa pulang ke rumah secepat mungkin semasa keluar membeli-belah.  Jika kartun animasi tersebut mempunyai mesej yang baik dan sesuai ditonton, mungkin ibu bapa masih mampu berdiplomasi walau bil elektrik melambung tinggi, tetapi bagaimana pula jika siri kartun animasi tersebut hanyalah cerita mengarut malah langsung tidak merangsang akal kanak-kanak ke arah positif?  Tepuk dada, tanyalah akal.

Saranan

Untuk mengurangkan kesan negatif yang wujud, terdapat beberapa saranan yang mungkin boleh digunakan terutama oleh ibu bapa.

  1. Kawal siri animasi yang ditayangkan di televisyen. Pastikan kanak-kanak menonton cerita yang mempunyai mesej positif dan bukan cerita yang mengarut yang langsung tidak difahami jalan ceritanya.
  2. Jika kanak-kanak berkeras untuk menonton siri animasi yang tidak dipersetujui oleh ibu bapa, pastikan ibu atau bapa mengikuti atau duduk bersama-sama mereka menonton. Ini membolehkan ibu atau bapa terus membetulkan elemen-elemen negatif yang mungkin wujud dalam siri tersebut sebelum kanak-kanak menerimanya bulat-bulat.
  3. Dedahkan kanak-kanak dengan aktiviti-aktiviti fizikal lain yang lebih menarik agar perhatian mereka terhadap rancangan kartun di televisyen dapat dialihkan.
  4. Sebagai ibu bapa yang lebih bijak dan matang, jangan terlalu mengikut kehendak kanak-kanak walau mampu sekalipun. Dalam erti kata lain, jangan terlalu menyokong apa sahaja yang dinyatakan atau dikehendaki oleh kanak-kanak.  Setiap maklumat yang ingin disampaikan harus jelas dan dapat diterima oleh akal si kecil.  Contohnya, kurangkan atau jangan membeli barangan yang tertampal gambar atau poster watak kartun animasi yang kurang sesuai untuk mereka.  Usaha ini diharap dapat mengurangkan minat mereka terhadap kartun yang dimaksudkan sedikit demi sedikit.

Namun, dengan menonton rancangan-rancangan televisyen yang bersesuaian (termasuk siri animasi), ia sebenarnya dapat membantu merangsang perkembangan akal kanak-kanak, ia juga dapat menolong mereka membuat analisa ringkas mengenai rancangan yang mereka tonton.  Walau apa sekalipun, ibu dan bapa pasti inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka, contohnya dari segi pendidikan formal atau tidak formal.  Didik, bantu dan sokonglah mereka apabila mereka melakukan perkara-perkara baik dan berfaedah sejak mereka kecil.  Dan yakinlah, jika mereka dididik dengan betul, Insya-Allah tidak akan meminggirkan kita di kala hari tua menjelma.

 

Artikel oleh:

DR.HAMDAN DANIEL

Timbalan Presiden Persatuan Pendidik Tadika Taska Malaysia

Older Post

0 comments


Leave a comment