6 Rahsia Menyerlahkan Potensi Anak

Posted by awal. my

Pengacara televisyen terkenal, Oprah Winfrey pernah berkata bahawa kejayaan hanya boleh diperoleh sekiranya seseorang itu sudah pun bersedia untuk meraih manfaat apabila peluang muncul di hadapannya. (Luck is a matter of preparation meeting opportunity)

Ya! Peluang yang ada hanya boleh dimanfaatkan sekiranya seseorang itu bersedia serta layak mendapatkannya.

Sebagai contoh, terdapat banyak biasiswa yang ditawarkan oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan di negara ini. Biasiswa berkenaan yang bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu terbuka kepada pelajar bagi melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang sama ada di dalam atau di luar negara.

Umumnya, hanya mereka yang memenuhi semua syarat sahaja iaitu yang sudah bersedia sahaja yang layak menerima biasiswa itu. Anak anda mahukan kejayaan tetapi belum bersedia, justeru itu tidak berpeluang merebut kejayaan berkenaan. Dalam hal ini, apakah peranan anda sebagai ibu bapa?

Adakah anak anda bersedia untuk memperolehi keputusan cemerlang sama ada dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM, Matrikulasi mahupun di peringkat kolej dan universiti? Untuk menjawab soalan itu, utarakan enam soalan berikut kepada anak anda.

1. Wawasan

    ‘Adakah anak anda benar-benar mahu berjaya dengan cemerlang?’

    Untuk berjaya, seseorang perlu:

    • Tahu apa yang dia mahu
    • Betul-betul mahu apa yang dia mahu

    Pertamanya, pelajar yang berjaya lazimnya sudah nampak jauh ke hadapan apa yang diinginkan. Mereka biasanya sudah ada gambaran yang jelas, bidang apa yang mahu diceburi (matlamat jangka panjang), dan mula memikirkan matlamat-matlamat jangka pendek yang perlu diambil.

    Keduanya, oleh kerana mereka ada kemahuan yang kuat untuk mendapatkan sesuatu, maka perkara yang sukar pun akan menjadi lebih mudah. Sebaliknya, jika mereka kurang berminat ke atas sesuatu, perkara yang mudah pun akan nampak susah.

    2. Yakin Belajar

      ‘Adakah anak anda yakin untuk memperoleh keputusan cemerlang?’

      Kejayaan bermula dalam fikiran. Untuk berjaya seseorang itu perlu berfikiran positif dan percaya pada kebolehan diri sendiri. Jika dia meragui kemampuan dirinya sendiri, maka sukar baginya untuk menyempurnakan sesuatu kerja dengan cemerlang. Selagi dia tidak yakin yang dia mampu memperoleh keputusan cemerlang, selagi itu dia tidak akan mendapat keputusan cemerlang.

      “Kesulitan akan bertambah jika dihitung-hitung tetapi akan lenyap setelah tidak diperhatikan.” (Imam Malik)

      3. Strategi Belajar

        ‘Adakah anak anda jelas akan strategi belajar yang efektif untuk membantu dia memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang?’

        Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa untuk berjaya, seseorang itu mesti rajin belajar. Namun bukan semua yang tekun belajar mempamerkan prestasi peperiksaan yang cemerlang.

        Ada pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh, namun mendapat keputusan peperiksaan yang sederhana sahaja. Mereka tidak ada strategi serta kemahiran belajar yang mantap. Justeru itu, usaha gigih mesti didasarkan ke atas satu strategi yang bijaksana. Kata orang‘study hard, study smart’.

        4. Tekun dan Berdisiplin

          ‘Adakah anak anda bersedia untuk melipatgandakan usaha serta lebih berdisiplin?’

          ‘Disiplin diri’ bermakna ‘memaksa diri membuat apa yang kena buat, pada masa yang kena buat dan buat sungguh-sungguh, buat sama ada suka atau tidak suka buat’. Pelajar yang berdisiplin tinggi sentiasa memenuhi janji kepada dirinya sendiri. Sekiranya mereka merancang untuk menghabiskan ulang kaji sesuatu tajuk dalam tempoh yang tertentu, maka itulah yang akan dilakukannya tanpa memberi apa-apa alasan. Mereka lazimnya kuat bekerja dan tidak jemu-jemu berusaha sehingga matlamat tercapai.

          5. Perubahan dan Pengorbanan

            ‘Adakah anak anda sanggup berubah serta berkorban agar peluang untuk berjaya dimanfaatkan sepenuhnya?’

            ‘Berubah’ bermakna meletakkan sesuatu untuk menggantikan sesuatu. Sebagai contoh, mereka meletakkan ‘kerajinan’ menggantikan ‘kemalasan’, ‘sedia mencari jalan’ menggantikan ‘suka beralasan’, dan ‘memberi 100% tumpuan dalam kelas’ menggantikan ‘suka bermain-main dan tidak bersungguh-sungguh mengikuti pengajaran guru dalam kelas’.

            Perubahan ini tidak mudah dilakukan dan sukar untuk dipertahankan kerana manusia lazimnya selesa dengan kebiasaan yang sedia ada. Justeru itu, seseorang perlu mengorbankan kesenangan sementara yang ada bagi memastikan kejayaan yang lebih lama untuk masa hadapan. Tegasnya, perubahan memerlukan pengorbanan.

            6. Bijak Memanfaatkan Sekitaran

              ‘Adakah anak anda bijak memanfaatkan sumber sekitaran dalam usaha memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan?’

              Seseorang pelajar tidak terkecuali daripada pengaruh sekitaran yang boleh mempengaruhi serta mencorakkan masa depan mereka secara positif atau negatif. Kita membataskan kepada tiga faktor sekitaran yang utama yang meliputi:

              • Rumah

              Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan masa depan anak. Lazimnya salah satu cara ibu bapa mempamerkan keprihatinan terhadap pelajaran anak adalah dengan mewujudkan budaya ilmu di rumah. Rumah yang mempunyai sekitaran belajar banyak kebaikannya dibandingkan dengan rumah yang sekitarannya meminggirkan ilmu.

              • Guru

              Pengajaran guru di kelas serta dasar sekolah untuk memajukan warga sekolah, berperanan besar dalam kemajuan seseorang pelajar. Kegigihan guru, keberkesanan pengurusan dan pimpinan sekolah semuanya memberi kesan langsung kepada kejayaan seseorang pelajar.

              • Kawan

              Pelajar, khususnya di peringkat sekolah menengah menghabiskan banyak masa bersama kawan. Justeru itu, pengaruh kawan sebaya cukup ketara. Ada masanya ia mengatasi peranan ibu bapa di rumah. Justeru itu, kemajuan atau kemerosotan prestasi akademik pelajar turut dicorakkan oleh rakan sebaya.

               

              Artikel oleh:

              DR SHUKRI ABDULLAH

              Dr. Shukri Abdullah, Ph. D (Essex) merupakan mantan Profesor Madya & Timbalan Dekan di Universiti Sains Malaysia. Kini merupakan Pengarah / Fasilitator Utama di Amalan Belajar Sdn. Bhd.

              Older Post Newer Post

              0 comments


              Leave a comment