4 Tip Mendapatkan ‘Pets’ Buat si Manja

Posted by awal. my

Memberikan tanggung jawab menjaga haiwan peliharaan kepada kanak-kanak mempunyai risiko yang tersendiri. Anda perlu memastikan anak anda mampu menjaga haiwan itu dengan sebaiknya. Ini penting kerana mungkin kerana kecomelan haiwan tersebut, anak anda menjadi geram lantas memeluk, menarik dan mencabut bulu haiwan peliharaannya itu. Oleh itu, apakah persediaan bagi memastikan anak anda bersedia untuk memikul tanggung jawab menjaga haiwan tersebut?

1. Bawalah si manja anda ke kedai haiwan dan biarkan dia yang memilih haiwan kegemarannya. Ini akan menghasilkan satu daya penarik dalam diri anak anda terhadap mana-mana haiwan yang dikehendakinya. Lihat reaksi pertamanya ketika melihat haiwan yang dipilih. Ini akan memperlihatkan kesediaannya untuk menerima kawan baru di rumah. Dapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai haiwan peliharaan itu dan terangkan kepada anak anda.

2. Jika anda baru membeli seekor kucing, anda perlu segera ke klinik veterinar untuk memeriksa haiwan peliharaan anda terlebih dahulu. Haiwan kesayangan anda perlu diberikan suntikan antibodi agar dia mampu bertahan menghadapi penyakit berjangkit. Bawalah anak anda bersama-sama dan dapatkan maklumat daripada doktor bagi memenuhi keperluan kucing anda. Secara tidak langsung, rasa tanggung jawab itu dapat diterap di dalam diri mereka.

3. Jadual yang rapi untuk memenuhi keperluan haiwan peliharaan perlu disediakan supaya penjagaan menjadi teratur. Meminta anak anda untuk menyediakan makan dan minum haiwan peliharaan dapat mendisiplinkan mereka malah membuatkan anak anda lebih bersemangat ketika menjaga tetamu baru di rumah. Selain itu, anak anda perlu faham mengenai jenis-jenis makanan yang tidak boleh diberikan kepada haiwan peliharaan. Sebagai contoh, coklat biasanya mendatangkan penyakit kepada kebanyakan binatang. Ikan pari juga tidak boleh diberikan kepada kucing kerana dikhuatiri mendatangkan penyakit kurap.

4. Didik anak anda supaya mengelak daripada menggunakan sebarang penyembur sama ada minyak wangi atau penyembur racun nyamuk berdekatan haiwan peliharaan anda. Ini akan menyebabkan haiwan-haiwan peliharaan mengalami alahan. Tidak kira apa jenis haiwan peliharaan sekali pun, elakkan daripada memberi ubat yang digunakan ke atas manusia. Jenis-jenis ubat yang berbeza dan dos yang tidak sesuai hanya akan memudaratkan haiwan peliharaan anda.

Kesimpulannya, menjaga haiwan peliharaan merupakan tugas yang berat untuk dilaksanakan oleh orang dewasa apatah lagi kanak-kanak. Namun begitu, anak anda dapat dilatih untuk menjadi lebih bertanggung jawab dan berdikari jika mereka diberi peluang untuk menjaga haiwan peliharaan. Pokok pangkalnya ialah anda sebagai ibu bapa perlu memberi galakan dan bimbingan yang berterusan supaya mereka sentiasa mempunyai rasa tanggung jawab terhadap haiwan peliharaan dan bukan hanya untuk sementara waktu.

 

Oleh: Admin

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment