4 Tindakan Atasi Tantrum Si Manja

Posted by Azraai Ahmad

Mengapa si manja mengamuk? Mulanya hanya meragam akhirnya membawa kepada tingkah laku mengamuk. Tingkah laku mengamuk lazimnya terjadi apabila kanak-kanak tidak dapat apa yang dihajati maka akan mencetuskan perasaan marah, sedih atau kecewa. Mengamuk juga boleh disebabkan kerana lapar, haus atau berada dalam persekitaran yang tidak selesa. Situasi ini jika tidak ditenangkan oleh ibu bapa akan menyebabkan si manja terus mengamuk. Apabila si manja kembali tenang, ibu bapa perlu berperanan untuk menjelaskan mengapa dirinya tidak boleh bersikap sebegitu. Demikian, berikut merupakan empat tindakan segera yang boleh membantu ibu bapa bagi mengatasi si manja yang mengamuk.

1. Kawalan emosi ibu bapa

Ketika anak mula buat perangai, emosi ibu bapa dahululah sebenarnya perlu dikawal. Kadang kala ibu bapa pula yang kalah dengan emosinya sendiri sehingga hilang kawalan lalu naik tangan. Tanpa ibu bapa sedari keadaan ini akan menyumbang kepada tingkah laku yang lebih buruk lagi. Oleh itu, langkah pertama dalam mengendalikan anak mengamuk, ibu bapa perlu lebih tenang. Keadaan ini sememangnya akan menguji kesabaran ibu bapa.

2. Minta si manja bertenang

Minta penjelasan dari si manja kenapa bertingkah laku sedemikian. Tanya secara tenang, jelas dan tegas. Terdapat tiga kaedah bagi si manja bertenang;

  • Jika anak masih menangis atau percakapannya tidak boleh difahami, berikan mereka masa untuk bertenang; tinggalkan dia, selepas 3 hingga 5 minit cuba bercakap dengannya.
  • Alihkan perhatian si manja kepada perkara lain. Kajian psikologi menyatakan adalah mudah untuk mengalih perhatian kanak-kanak misalnya dengan merujuk keadaan persekitaran misalnya, “Tengok adik, ada burung terbang la kat atas pokok”. Sekiranya alihan perhatian diberikan secara perjanjian contohnya, “Ok, kalau adik dengar cakap mama, nanti mama belikan aiskrim”, tepatilah perjanjian itu. Jangan sesekali berjanji perkara yang tidak dapat ditunaikan. Tidak mustahil tingkah laku mengamuk akan berulang.
  • Jika keadaan anak sukar dikawal atau mengamuk di tempat umum, dukung anak dan bawa ke tempat yang jauh dari pandangan orang dan peluklah dia. Jika si manja masih menjerit-jerit mengamuk, biarkan dirinya menjerit sepuas hati dan ibu bapa hanya melepaskan pelukan apabila dia tenang. Tindakan ini memberi mesej bahawa anda yang mengawal keadaan dan bukan dirinya. Ada ibu bapa tewas pada peringkat ini. Oleh demikian, ibu bapa harus melakukannya secara konsisten dan penuh kesabaran.

3. Ingatkan tentang peraturan

Wujudkan peraturan. Ini akan mendidik anak tentang disiplin dan kawalan diri. Maklumkan dan berbincang bersama anak misalnya “Nanti kat kedai adik boleh pilih satu jenis mainan je tau”. Jika si manja mengamuk; setelah kembali tenang, ingatkan kembali peraturan yang telah dibincangkan “Kalau adik nak ikut mama pergi kedai, adik boleh pilih satu jenis mainan je” dan terangkan juga sebab anda tidak boleh mengikut kemahuannya.

4. Peluk dan luahkan “sayang”

Peluk dan katakan bahawa anda sayangkannya. Jelaskan kepada anak bahawa tingkah laku yang baik akan membuatkan orang suka dan sayang dan juga sebaliknya.

Demikian, menangani anak mengamuk memerlukan kesabaran dan disiplin yang tinggi. Ibu bapa perlu melatih diri untuk mengawal keadaan dan bukannya anak memanipulasi keadaan. Selamat berjaya!

 

Artikel oleh:

HIDAYAH TOKIMAN

Hidayah Tokiman merupakan pensyarah (Jabatan Pendidikan) di Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej Uniti Port Dickson.

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment