Tip Mengingat Bunyi Huruf Edisi Ke-2

Posted by awal. my

Biasanya anak mudah untuk mengingat bunyi-bunyi huruf. Yang susahnya ialah untuk fahamkan konsep menggabung bunyi.

Walaubagaimanapun, kedua-dua perkara ini masih dalam kawalan waktu atau dalam kata lain kita boleh targetkan masa untuk anak menguasai kedua-dua kemahiran ini.

Contohnya, kita boleh target 3 minggu atau 3 bulan atau 3 tahun untuk anak menguasai bunyi-bunyi dan menggabung bunyi.

Tetapi, untuk menguasai perbendaharaan kata dan kefahaman apa yang dibaca akan memakan masa dan tidak berada dalam kawalan kita.

Hanya, kita boleh berusaha misalannya, pada usia 4 tahun, anak kita mendapat 2000 perkataan baru yang didapati sama ada daripada perbualan harian di rumah, jiran-jiran, media elektronik dan cetak.

Menyambung daripada artikel tentang mengingat bunyi huruf yang lepas, kita teruskan dengan bunyi-bunyi yang lain.

  1. Bunyi d – Apabila kita mengetuk dram, kita kata d -d-d. Letak lidah belakang gigi atas dan buat bunyi seperti bunyi dram. Bekas anak murid saya suka memukul dada seperti tarzan dan bunyikan degupan jantung d-d-d.
  2. Bunyi s – Ular bunyinya ssss. Rapatkan gigi atas dan bawah dan senyum serta lidah ke atas belakang gigi atas.
  3. Bunyi z – Lebah bunyinya zzz. Sama macam ss tetapi kuatkan lagi bunyi.
  4. Bunyi rr – Harimau mengaum rrrr.
  5. Bunyi c – Keretapi bunyinya c-c-c.
  6. Bunyi f – Macam arnab bercakap dengan dua gigi depannya yang besar. Gigit bibir bawah dengan gigi atas dan tiup. Mesti ada angin keluar rasakan dengan tapak tangan.
  7. Bunyi g – Bunyi air turun dalam sinki lambat-lambat g-g-g.
  8. Bunyi gh – Bunyi orang berkumur.
  9. Bunyi kh – Bunyi sebelum nak meludah yang ada kahak.
  10. Bunyi l – Bunyi orang menyanyi lalala.
  11. Bunyi w – Bunyi bayi menangis waaaaaa.

Mungkin boleh jadikan panduan. Bila membaca memang banyak bersangkut dengan memory bunyi dan memory bentuk huruf dan gabungan keduanya akan memudahkan anak untuk belajar membaca.

Maka tidaklah nanti seperti anak hanya menghafal a-z dengan menyanyi, tak ubah seperti burung kakak tua. Apabila ditanya ini huruf apa atau ini bunyi apa, dia terpaksa menyanyikan semula daripada awal.

 

Artikel oleh:

Zairani A. Hamid

Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment