Betulkah Nina dah Pandai Membaca?

Posted by awal. my

1. Pengulangan itu penting untuk mengukuhkan kemahiran.

2. Pengulangan adalah dalam bentuk mengulang-ulang sesuatu kemahiran bukan mengulang-ulang teks bacaan sehingga hafal.

3. Pelbagaikan aktiviti mengajar contohnya permainan untuk mengelakkan kebosanan. Cuba fikirkan kenapa kanak-kanak ‘toddler’ suka aktiviti ‘masuk dan keluar.’ Dia masukkan benda ke dalam bekas… kemudian dia keluarkan… masukkan semula, keluarkan. Begitulah berulang-ulang kali sehingga dia jemu.

Rasanya kita biasa dengan peribahasa Inggeris ‘Practice makes perfect’. Dalam kes belajar membaca, mengulang penting untuk menguasai sesuatu kemahiran. Dan yang lebih penting terutamanya pada peringkat awal membaca, mengulang boleh membina keyakinan diri seseorang.

Tetapi berhati-hati. Pengulangan bukan pada teks bacaan yang sama sehingga anak boleh menghafal teks yang dibaca. Dalam bahasa Inggeris, hafalan sebegini dinamakan ‘rote learning’. “Anak saya baru nak belajar membaca. Ada satu buku tu dia suka sangat membacanya sampai dia hafal. Sebab buku (teks) tu mudah, pulak tu sedikit.”

Renungilah kisah ini…

“Nina dah pandai baca!” kata Nina, anak saudara saya apabila saya pergi ke rumahnya.

“Betul ke?” Dalam hati saya berkata, cepat juga budak ini boleh membaca memandangkan umurnya baru hendak masuk 5 tahun.

“Betul… Makcik nak dengar Nina baca?” tanya Nina dengan begitu petah sekali. Matanya bulat bersinar-sinar.

“Hmm… okay. Cuba dengar Nina baca yang ini?” Kebetulan saya memang sedang melihat-lihat buku-buku cerita kanak-kanak yang tersusun kemas di atas rak berhampiran. Lalu saya capai sebuah buku yang mudah untuk dibaca… salah sebuah buku cerita BAWAL keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Yang itu Nina tak pandai.” Nina menolak buku yang saya hulurkan. Di tangannya sudah ada sebuah buku lain yang hendak dibacanya.

“Tadi Nina kata Nina dah pandai baca. Buku yang ini senang saja.” Saya buka dan tunjukkan buku yang saya ambil tadi.

“Memanglah. Tapi Nina boleh baca buku yang ini saja.” jawabnya keras. Dengan itu, Nina mula membaca buku di tangannya dengan fasih dan lancar, helaian demi helaian hingga habis sebuah buku.

Nina telah ‘membaca’ buku kegemarannya itu berulang-ulang kali. Buku itu mudah dan ringkas. Teksnya berulang-ulang. Bagi seorang anak yang cerdik seperti Nina, perkara itu mudah sekali. Dalam hal belajar membaca, pengulangan sebenarnya diperlukan untuk mengukuhkan sesuatu kemahiran. Contohnya, kemahiran mengenal setiap simbol tulisan dan boleh mentafsirkan kepada bunyi. Kemahiran ini boleh diperkukuhkan melalui teknik permainan, bercerita, bernyanyi ataupun teknik-teknik yang lain.

Anak kita akan lebih berminat untuk mengulang-ulang sesuatu kemahiran sekiranya aktivitinya dipelbagaikan. Ataupun teknik yang sama digunakan contohnya permainan tetapi cuba fikirkan permainan yang berbeza setiap kali anda mengajar. Setiap permainan ada tempoh tamatnya. Setiap permainan sepatutnya mengukuhkan kemahiran dan menjadi asas untuk permainan-permainan yang baru. Pengulangan mengundang kebosanan. Seboleh-bolehnya, elakkan kebosanan dalam sesi mengajar kita! Tetapi jika ada juga tanda-tanda kebosanan, berhenti mengajar! Atau, cepat-cepatlah tukar aktiviti pengajaran kita!

 

Artikel oleh:

ZAIRANI A. HAMID

Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.

 

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment