5 Masa Larangan Untuk Mengajar Anak di Rumah

Posted by awal. my

Penting untuk kita pastikan pengajaran dan pembelajaran anak anda di rumah berjalan dalam keadaan selesa dan tiada faktor yang boleh mengganggu keselesaan tersebut supaya pengajaran itu berkesan. Anak dan anda sendiri mestilah berada dalam keadaan selesa, ceria dan bersedia untuk mengajar dan belajar. Kajian telah menunjukkan pengajaran yang bermakna berlaku apabila anak belajar dalam keadaan gembira dan ceria.

5 masa yang dilarang untuk mengajar anak di rumah:

1. Masa anak lapar

Perut yang lapar akan mengganggu tumpuan anak kepada apa yang diajar lebih-lebih lagi apabila makanan telah terhidang. Lebih menyedihkan kalau anda mengumpan makanan yang terhidang itu untuk mendapatkan tumpuan dan kerjasama mereka.

2. Masa anak mengantuk

Sama seperti masa anak lapar, masa anak mengantuk juga bukan masa yang sesuai untuk mengajar anak kecuali aktiviti pengajaran anda sungguh menarik dan menyeronokkan.

3. Masa anda sibuk

Jangan sekali-kali mengajar anak anda ketika anda sibuk. Pertamanya, anda tidak akan fokus kepada anak anda dan apa yang hendak diajar. Kedua, kesibukan anda akan menyebabkan anda mudah dan cepat marah sekiranya anak anda lambat untuk memahami apa yang anda ajar.

4. Masa anda lapar

Lapar juga boleh menjadi punca yang boleh membangkitkan kemarahan anda. Sekiranya itu sahaja masa yang anda ada untuk  mengajar anak anda, sebaiknya alas perut anda terlebih dahulu supaya ia tidak mengganggu konsentrasi anda untuk mengajar.

5. Masa anda marah

Apa jua yang hendak anda lakukan jangan sekali-kali melakukannya semasa anda marah. Emosi anak akan terkesan apabila dimarahi. Anak akan membenci dan cuba mengelak untuk duduk belajar bersama anda lagi. Sekiranya marah anda baru hendak bermula, sebaiknya berhentilah sebelum ia memuncak kerana pengajaran selepas itu tidak bermakna langsung buat anak anda. Dan sekiranya diteruskan juga sesi pengajaran anda akan menjadi sia-sia sahaja dan tidak bermakna.

 

Oleh: Admin

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment