Pendedahan Awal kepada Sukan Renang

Posted by awal. my

Mengajar kanak-kanak untuk berenang bukanlah sesuatu yang terlalu menyukarkan walaupun ibu bapa sendiri tidak pandai berenang.

Meskipun kebanyakan orang mencadangkan kanak-kanak sesuai diajar berenang pada peringkat umur 3 tahun ke atas, tetapi kanak-kanak boleh diberi pendedahan awal kepada sukan renang sebelum mereka berusia setahun lagi.

Aktiviti berenang mampu membentuk perkembangan intelektual, fizikal dan emosi kanak-kanak. Kajian turut menunjukkan bahawa kanak-kanak yang didedahkan kepada sukan renang sebelum usia 5 tahun mempunyai IQ yang lebih tinggi!

Menakjubkan bukan? Ikuti tip-tip menarik untuk mengajar anak anda berenang.

Pada peringkat awal, kanak-kanak boleh dibiasakan dengan air sedalam paras dada. Rasa takut merupakan naluri biasa, namun setelah beberapa kali tentu anak anda berasa seronok malah teruja.

Anda juga boleh turut serta dengan aktiviti yang sama. Bersama-sama dengan anak anda ketika mencelup muka ke dalam air sehingga ke mata, telinga, dan hidung malah ketika berada di bawah permukaan air.

Selain itu, kanak-kanak juga menjadi seronok untuk bermain gelembung-gelembung air. Mereka cuma perlu meniup dari mulut dan hidung ketika berada di dalam air.

Pada peringkat ini, anak sudah boleh diajar untuk menarik nafas melalui mulut ketika di permukaan air dan meniup melalui hidung di bawah permukaan air.

Seterusnya, kanak-kanak boleh diajar untuk terapung. Mereka mungkin mengahdapi kesukaran untuk terapung jika berada pada keadaan terlentang.

Jadi, anda boleh memegang belakang badan anak anda ketika dia terapung dan mengatakan bahawa dia akan selamat selama mana dia bersama anda.

Kanak-kanak yang sudah pandai mengapung boleh melakukannya dengan menujah kaki di dalam air ketika hendak mengapung.

Kanak-kanak kemudiannya boleh diajar mengayuh dengan tangan supaya badan yang terapung boleh bergerak ke hadapan.

Gaya yang paling mudah untuk asas kepada renangan ialah gaya dada. Pergerakannya ialah dengan mengunjurkan air dan menguak ke belakang.

Jika anda tahu berenang, tentu sahaja menjadi bonus bagi anda. Anda boleh berlumba dengannya atau mengejarnya.

Seterusnya, anda boleh mengajar dengan mengayuh menggunakan kaki. Menggerakkan kaki dengan gaya dada ialah dengan menarik kaki ke hadapan dan menolaknya semula seolah-olah meniru pergerakan katak berenang.

Setelah mereka berjaya, anda boleh mempraktikkan kemahiran kaki dan tangan secara bergilir-gilir.

Untuk membantu daya tahan di dalam air, anak anda perlu diajar kaedah mengambil nafas yang tepat ketika berada di permukaan air.

Anak anda perlu mengangkat kepalanya ke atas permukaan air sewaktu tangannya dikuakkan ke belakang. Ketika inilah udara disedut melalui mulut. Udara kemudiannya dihembus melalui hidung ketika di bawah permukaan air.

Kesimpulannya, langkah-langkah ini merupakan antara cara yang boleh diajar untuk anak-anak berenang. Kemahiran berenang bukanlah sesuatu yang rugi diajarkan. Berkemungkinan, kemahiran sebeginilah yang akan membantu anak anda ketika dalam kesusahan. Jadi apa tunggu lagi? Jom berenang!

 

Oleh: Admin

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment