Bentuk Pelbagai Kemahiran dengan Satu Aktiviti Mudah

Posted by awal. my

Menjadi lumrah buat anak kecil untuk sukakan permainan. Semestinya anak boleh didedahkan kepada pelbagai jenis pembelajaran melalui permainan. Salah satu permainan wajib yang harus ada dalam senarai aktiviti anda ialah permainan lumba kereta. Pelbagai elemen pembelajaran boleh didedahkan kepada anak dengan aktiviti yang mudah tetapi menarik ini.

Anda hanya perlu sediakan masking tape, kenderaan mengikut tema dan ruang yang sesuai.
Permainan ini tidak semestinya dilakukan di kawasan yang lapang. Anda boleh sahaja memilih ruang-ruang yang ada di rumah yang sesuai.

Jadikan permainan semakin mencabar dengan penyusunan dan rekaan jalan yang pelbagai.
Mulakan dengan laluan jalan yang mudah seperti jalan lurus dan tanpa banyak halangan sehingga laluan yang lebih mencabar seperti laluan jalan bengkang-bengkok, laluan naik dan turun bukit dan sebagainya.

Melalui satu permainan, anak boleh didedahkan kepada pembelajaran yang pelbagai. Contohnya:

  • Ajari mereka tentang jenis dan nama-nama kenderaan.
  • Warna dan bentuk.
  • Pra nombor seperti panjang, pendek, tinggi, rendah, sama dan tidak sama, banyak dan sedikit, besar, kecil dan sebagainya.
  • Peraturan jalan raya yang mudah dan sebagainya.
  • Doa menaiki kenderaan dan adab-adab dalam perjalanan.

Dengan satu permainan sahaja, anak telah diperkenalkan kepada pembelajaran mengikut beberapa tunjang prasekolah yang penting. Contohnya, tunjang sains dan fizikal, tunjang kerohanian dan tunjang ketrampilan diri. Potensi diri anak dapat diasah melalui permainan yang ringkas ini. Bebaskanlah kreativiti kanak-kanak dengan aktiviti wajib ini dan lihat ‘pekerjaan’ yang akan mereka lakukan.

Selamat mencuba! Share Jika Bermanfaat!

 

Artikel oleh:

MONALISA HARUN CHONG

Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.

 

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment