7 Rahsia Memupuk Amalan Hidup Sihat Buat Si Kecil

Posted by Azraai Ahmad

Membaca, mengkaji dan meneroka ilmu adalah salah satu tugasan penting dan WAJIB bagi ibu bapa. Percaya atau tidak… mendidik anak sewal usia bukan perkara yang mudah. Ia tidak boleh diambil mudah dan dilakukan secara sambil lewa dengan tanggapan anak masih kecil dan tak faham apa-apa.

Buku bertajuk Secret of the World’s Healthiest Children: Why Japanese Children Have the Longest and Healthiest Lives and How Yours Can Too menyajikan kajian, pendapat, pemerhatian dan cara hidup dan pemakanan yang dipraktikkan oleh anak-anak Jepun.

Jom intai apa yang dibincangkan…

Ada 7 rahsia memupuk dan mempraktikkan amalan hidup sihat dan terbaik untuk anak sedari kecil.

1. Tukar menu anda kepada menu sihat.

Jika dulu peti ais dan pantry anda penuh dengan makanan siap goreng dan makanan segera yang tinggi lemak dan tinggi gula, sila tukar kepada snek dan makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Masak sendiri berbanding makan di luar. Anda mampu mengawal penggunaan gula dan garam dalam masakan yang dimasak sendiri.

2. Bantu dan motivasi anak untuk mencuba makanan baharu.

Anak perlu didedahkan kepada pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan. Hidang makanan baharu dengan cantik dan dalam potongan kecil. Berikan anak cuba makanan tersebut bersama anda (mak ayah pun kena makan sekali).

Berikan sticker sebagai motivasi apabila mereka berjaya makan walaupun dalam potongan terkecil. Sticker amat bermakna apabila dikumpulkan dan dipamerkan. Beri mereka hadiah atas kumpulan sticker tersebut.

3. Hidang makanan dalam kuantiti yang kecil dan dalam pinggan yang kecil.

Ajari mereka untuk makan sedikit tetapi kerap. Pengalaman saya sendiri… biasanya bila anak-anak diberi sedikit makanan… mereka akan makan sampai habis dan jika mereka suka, mereka akan minta lagi. Jadi, tak membazir dan anak-anak tidak diajar membuang makanan sedari kecil. Mereka hargai makanan mereka.

4. Hidupkan suasana hidup sihat di rumah.

Ibu bapa adalah TELADAN bagi anak-anak untuk SUKA menu sihat. Anak-anak mudah mengikut dan akan meniru apa sahaja yang mereka hidup dan membesar dengannya. Jadikan amalan dan suasana hidup sihat di rumah satu kewajipan. Jadualkan makan bersama untuk satu waktu tertentu secara konsisten. Makan sayur dan buah-buahan bersama mereka. Libatkan anak-anak dengan makanan dengan bawa mereka ke pasar, memilih bahan makanan, membersihkan sayuran dan buah-buahan, serta memasak.

Selain itu, ajari anak menanam makanannya juga adalah salah satu cara amalan hidup sihat. Mereka akan lebih dekat dan memahami mengapa mereka perlu makan makanan yang baik untuk membesar dengan sihat.

5. Anda adalah penentu gaya hidup sihat anak.

 Bertindaklah sebagai ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan motivasi untuk anak mengamalkan hidup sihat. Sentiasa berbual dan berkongsi dengan mereka akan kebaikannya. Berbincang dan menyediakan menu bersama.  Ini bukan hanya membantu mereka faham dan sedar akan kebaikan amalan hidup sihat. Mereka akan rasa dihargai dan diberi kepercayaan untuk turut sama dalam acara sihat ini.

6. Libatkan anak dalam aktiviti fizikal harian secara konsisten.

Pemakanan sihat sahaja tidak cukup untuk meningkatkan kesedaran amalan gaya hidup sihat. Anak-anak Jepun diajar untuk aktif berjalan dan menjalankan aktiviti fizikal yang aktif setiap hari. Aktiviti fizikal harian yang aktif seperti membuat sesuatu aktiviti berjadual dan konsisten sangat baik untuk perkembangan fizikal mereka secara total.

Ajak anak-anak anda untuk melakukan aktiviti yang melibatkan fizikal setiap hari secara aktif dan konsisten. Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah gotong royong mengemas dan membersihkan rumah, berjoging di taman yang berhampiran, acara menanam sayuran dan menjaga tanaman, menunggang basikal dan mengelilingi taman dan sebagainya. Solat berjemaah juga salah satu aktiviti fizikal yang sangat bagus.

7. Berbahagia dengan amalan pemakanan dan hidup sihat.

Mengamalkan makanan berkhasiat sebagai satu cara hidup bukan satu perkara yang sangat mudah dalam era iklan makanan segera terlalu banyak di kaca TV. Justeru, anda sebagai ibu bapa harus dahulu berasa bahagia untuk benar-benar memilih yang terbaik untuk anak.

Kepelbagaian menu dan  sentiasa mencari cara dan kaedah untuk anak dan anda sendiri untuk rasa seronok dengan amalan sihat harus diberi keutamaan. Mulakan dengan mesratetapi tegas dan konsisten kerana anda mahu yang terbaik untuk diri dan anak. Gaya hidup sihat akan menjadi satu rutin yang seronok dilakukan dan bukan satu bebanan.

Kesimpulan

Oleh itu, diharap anda mendapat manfaat dan sudah mula menyusun strategi untuk hidup sihat secara aktif dan konsisten bersama anak anda. Selamat beramal dan semoga berjaya mendidik anak anda memilih gaya hidup sihat apabila dewasa kelak.

(Untuk pengetahuan semua, perkongsian ini diberi berdasarkan kefahaman dan pengalaman saya dari pembacaan dan mempraktikan amalan dari buku tersebut.)

 

Artikel oleh:

MONALISA HARUN CHONG

Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment