MENGAPA ANAK KECIL BERBOHONG?

Posted by Azraai Ahmad

Yang pasti, anak kita tidak dilahirkan dengan gen berbohong. Setiap anak dilahirkan suci dan bersih daripada sifat-sifat yang tidak baik. Kalau anak kita suka menipu atau berbohong it is not by nature but nurtured.

Bila anak berbohong, kita sepatutnya mencari sebab dan punca anak kita berbohong terlebih dahulu dan bukannya terus menghukum. Menghukum membabi buta akan menyebabkan anak serik untuk berbohong ataupun anak akan terus berbohong pada tahap yang lebih membimbangkan sebagai satu tindakan defensif dan memberontak.

5 sebab mengapa anak kecil kita suka berbohong?

1. Hendak menutup kesilapan dan takutkan hukuman

Anak berbohong kerana kalau dia berkata benar tentang kesilapannya, dia akan dihukum. Contohnya, dia telah terpecahkan pinggan dengan tidak sengaja dan dia pasti anda akan menghukumnya sekiranya dia mengaku dia yang buat. Jalan keluar yang paling mudah ialah menipu.

2. Tidak mahu menerima tugasan

Anak menipu yang dia tidak tahu melakukan sesuatu tugasan supaya dia tidak diberi tugasan tersebut. Contohnya, tugasan membuat susu untuk adik.

3. Cemburu atau hendak menandingi adik atau abang/kakaknya

Anak menipu mungkin kerana cemburukan adiknya atau abang/kakaknya yang mendapat lebih perhatian daripada ibu bapanya. Contohnya, anak membuli adik kecilnya semasa mereka berdua bersendirian. Tetapi tidak mengaku apabila ditanya kerana takut dimarahi/dihukum.

4. Membalas dendam

Adakalanya anak menyimpan dendam kepada ibu bapanya dan menunggu masa yang sesuai untuk membalasnya dengan melakukan perkara-perkara yang negatif antaranya dengan berbohong.

5. Sebagai gurauan

Adakalanya anak berbohong semata-mata kerana bergurau. Biasanya perlakuan ini diperhatikan oleh anak kepada ibu bapanya sendiri yang melakukan atau ibu bapa yang berjanji dalam keadaan tidak berniat untuk menunaikan janjinya. Berbohong pada tahap sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya dilarang kecuali dalam 3 keadaan dan bergurau tidak termasuk dalam keadaan tersebut.

Sabda Rasulullah SAW : “Berbohong tidak dibenarkan melainkan 3 keadaan – lelaki yang bercakap kepada isterinya bertujuan untuk menggembirakannya, berbohong semasa perang dan berbohong bagi menyatukan antara dua manusia.” – Hadis Riwayat al-Tirmidzi

Oleh: Admin

Older Post Newer Post

0 comments


Leave a comment